Thursday 20 November 2008

Agama Melalui Perlembagaan

Isu ini menjadi isu hangat sejak akhir-akhir ini dan sekiranya kita gagal mentafsirkan mengikut perlembagaan ia akan menyebabkan pergolakan perkauman yang menjurus kepada agama. Ini kerana majoriti pergaduhan kaum yang berlaku di Negara ini ada hubung kait dengan agama sesuatu kaum.

Terdahulu perlu difahami kedudukan agama islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan disediakan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Perkara ini hanya boleh difahami apabila membaca bersama peruntukan-peruntukan tertentu dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 11 (4) Perlembagaan melindungi kedudukan istimewa Islam sebagai agama bagi Persekutuan [Perkara 3 (1)] dan hak Negeri untuk membuat undang-undang yang terpakai kepada orang Islam (Jadual Sembilan Perlembagaan)

Berdasarkan pemahaman di atas adalah SAH dari segi undang-undang untuk Malaysia menyatakan atau menganggap dirinya sebagai sebuah Negara Islam walaupun tidak semua undang-undangnya berasaskan hukum-hukum Islam.
Perkara 3 (1) – Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Ulasan bagi perkara di atas:-
• Islam bukan agama rasmi tetapi merupakan agama rasmi dan tidak rasmi persekutuan
• Agama lain hendaklah diamalkan dengan
AMAN : Iaitu patuh kepada undang-undang, tempat, masa, lessen, permit, kebenaran dan;
DAMAI : Iaitu tidak bertentangan dan tidak bersaing dengan Islam dan tidak mencampuri hal ehwal/status Islam.
• Kebebasan agama termaksud menganut, mengamal dan mendakwah TETAPI dilarang mendakwah kepada orang Islam.
• Ajaran sesat terlarang diajar, dikembangkan atau didakwah di kalangan orang islam.
• Amalan kebebasan beragama terhad kepada kumpulan terbabit dan bukan untuk diperagakan kepada khalayak umum seperti Reclining Buddha di Air Hitam di Pulau Pinang dan Dewa Murugam di Batu Caves.

PERKARA 3 (2) – Dalam tiap-tiap negeri melainkan negeri-negeri yang tidak mempunyai raja kedudukan raja sebagai ketua agama Islam dalam negerinya secara dan setakat mana yang diakui dan ditetapkan dalam perlembagaan negeri itu dan tertakluk kepada perlembagaan negeri itu. Segala hak keistimewaan, kedaulatan dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai ketua agama Islam tidaklah tersentuh dan tercatat tetapi dalam apa-apa perbuatan amalan atau upacara yang telah dipersetujui oleh majlis raja-raja meliputi seluruh persekutuan.

Maka tiap-tiap raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai ketua agama Islam dan membenarkan Yang DiPertuan Agong mewakilinya.

Pentafsiran mengenai Perkara 3 ini kerap kali dimanipulasikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Agama Islam sebagai agama persekutuan jelas menyatakan bahawa agama Islam diletakkan dalam kedudukan yang paling istimewa dalam perlembagaan dan ia secara jelas tidak menyebut mana-mana agama lain secara terpeinci. Sebagai contoh agama Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain agama.

Di sini jelas menggambarkan bahawa kedudukan Islam secara langsung meletakkan ia sebagai Agama Rasmi dan seharusnya agama-agama lain tidak boleh menyamakan anutan mereka sama taraf dengan Islam di dalam perlembagaan. Ini secara tidak langsung turut mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah Negara ISLAM.

Corpus undang-undang asal yang berunsur Islam ialah Undang-Undang Melaka atau risalah Hukum Kanun 1523 A.D dan The 199 Laws of Perak, The Pahang Digest 1896, The Kedah Digest 1605 dan The Johore Digest 1789.

Ini jelas dengan penyataan bahawa Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang yang berkenaan dengan orang-orang Islam.

Kuasa tersebut hanya pada Badan-Badan Perundangan Negeri. Bagaimanapun Parlimen melalui Perkara 12 (2) memberi bantuan kewangan khas demi mewujudkan atau menyelenggarakan institusi-institusi Islam atau pelajaran dalam agama Islam kepada orang-orang yang beragama Islam sebagaimana negeri-negeri boleh menyediakan.

Perkara 12 (2) – Tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyelenggara institusi-institusi bagi pendidikan kanak-kanak dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidak boleh ada diskriminasi semata-mata atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang yang berhubung dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu; tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyelenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.

Undang-undang negeri juga boleh menyekat atau mengawal penyebaran mana-mana kepercayaan atau doktrin agama di kalangan orang-orang yang beragama islam.
Perlu diingatkan bahawa pemakaian undang-undang Islam berbeza antara satu sama lain bergantung kepada Perlembagaannya.

Di Malaysia, Perlembagaan Persekutuan Malaysia mengiktiraf agama Islam sebagai agama persekutuan maka ini telah mewujudkan perlaksanaan undang-undang Islam walaupun tidak dengan sepenuhnya.

Ini diperkuatkan dengan perlembagaan negeri iaitu agama Islam sebagai rasmi bagi negeri-negeri yang mempunyai sultan dan raja. Bagi negeri yang tidak mempunyai sultan dan raja, maka Yang DiPertuan Agong sebagi Ketua Islam.Di Malaysia undang-undang Islam terpakai sebagaimana yang diubahsuaikan dengan adat melayu.
Undang-undang Islam di Malaysia tidak terpakai kepada semua golongan masyarakat dan tidak juga dalam bentuk tulen.

Badan-badan perundangan di Malaysia lebih menekan kepada soal pentadbiran undang-undang Islam dan bukannya undang-undang Islam asas itu sendiri yakni undang-undang Islam yang substantive.

Undang-undang Islam asas yang terpakai di Negara ini adalah diambil dari Mazhab Shafie sebagaimana yang diubahsuai oleh adat melayu.

Malangnya terdapat kecenderungan pihak-pihak tertentu menggunakan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh tentang kebebasan beragama.

Perkara 11 (1) – Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada fasal (4) untuk mengembangkan agamanya.

Perkara 11 (4) – Undang-undang negeri dan mengenai Wilayah-wilayah Persekutuan Kualal Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat perkembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam.

Bagaimanapun apa yang berlaku, terdapat pihak-pihak tertentu yang sengaja memadamkan Perkara 11 (4) dengan memberi penekanan terhadap Perkara 11 (1) sahaja tanpa bacaan bersama Perkara 11 (4). Sebagai contoh Azalina Jelani atau Lina Joy di mana permohonannya untuk menukar agama kepada agama Kristian tidak diluluskan kerana ia bertentangan dengan perlembagaan.

Ia diperkukuhkan dengan Perkara 160 (2), Perkara 89 & 90 (Tanah Rizab Melayu/Tanah Adat) dan Perkara 153.

Perkara 12 (3) – Tiada seseorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama

Perkara 12 (4) – Maksud bagi Fasal (3), agama seseorang yang berumur kurang daripada 18 tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya.

Perkara 160 (2) – Tafsiran

Rujukan kertas kerja Datuk Mohd Nor Abdullah (Bekas Hakim Mahkamah Rayuan) & Datuk hashim Yeop A.sani (Bekas Hakim Besar Malaya)

No comments: