Thursday 1 May 2008

Apakah Patriotisme


Patriotisme adalah kecintaan dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi terhadap negara serta mempunyai kesanggupan untuk mempertahankan kedaulatan dan maruah negara. Patriotisme merupakan langkah melahirkan masyarakat beradab dan mampu menangkis cabaran dari dalam dan luar yang keadaan ini dewasa ini semakin meruncing.


Kemunculan semangat patriotisme berpunca daripada asal usul peradaban manusia itu sendiri, manusia hidup berkonflik bertujuan untuk mencapai keperluan asas. Kewujudan konflik seterusnya menimbulkan kesedaran bagaimana untuk menguruskan konflik yang timbul. Dewasa ini, pengurusan konflik lebih mencabar khususnya dalam dunia di era globalisasi.


Kepincangan dalam pengurusan konflik akan memberikan impak yang boleh memecahbelahkan sesuatu masyarakat majmuk. Oleh demikian, semangat patriotisme menjadi pemangkin kepada pengurusan konflik ini bagi mengelakkan sebarang permasalahan yang memecahbelahkan masyarakat majmuk.


Rukunnegara yang merupakan manifestasi ideologi nasional dengan tujuan untuk mencapai perpaduan di kalangan rakyat tanpa mengira kaum, ras, keturunan, agama dan ideologi politik. Rukunnegara mempunyai makna yang sangat besar di sisi setiap warganegara untuk dihayati dan disemat dalam diri setiap warganegara. Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan menjadi nadi kepada pentadbiran kerajaan. Pentadbiran negara didasari melalui dasar-dasar yang diamalkan oleh pemimpin negara dahulu dan sekarang.


Misi nasional dan kemampanan modal insan menjadi teras kepada rancangan-rancangan yang dijalankan oleh kerajaan. Asas kepada kejayaan Malaysia kini adalah berpunca kepada perkongsian kuasa yang diamalkan oleh pemimpin dan kesedaran yang wujudnya dari kaum di Malaysia, menjadikan perkongsian kuasa pemangkin kepada pemacuan negara menuju kecemerlangan.


Perkongsian kuasa ini, wujud kontrak sosial yang menjadi satu memorandum antara kaum yang terdapat di Malaysia untuk mewujudkan keharmonian dan kesepakatan kaum. Perlembagaan Malaysia yang menjadi tunjang kepada undang-undang di negara ini menetapkan beberapa kuasa yang tidak boleh diubah malah tidak boleh dipertikaikan, hak keistimewaan orang Melayu dalam perkara 153, Agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia (Perkara 3(1)), hak istimewa raja-raja Melayu (Perkara 181) dan kewarganegaraan (Perkara 14). Ketegasan kerajaan melalui pindaan 1971 yang melarang mana-mana pihak mempersoalkan hak dan keistimewaan orang Malayu merupakan nas yang perlu diikuti dan tidak dipersoalkan merupakan satu langkah bijak.


Keterlibatan Malaysia di arena dunia memperlihatkan kemajuan dalam meneroka dunia bagi menuju kegemilangan dan kecemerlangan. Namun, disebalik kejayaan dan kecemerlangan yang telah, sedang dan bakal diperolehi, masyarakat harus sedar bahawa wujud ancaman yang harus ditangkis secara bersama melalui semangat patriotisme dan permuafakatan. Perpaduan dalam merupakan patriotisme nasional yang diperkukuhkan. Menjadi tanggungjawab bersama melalui patriotisme bahawa agenda politik, ekonomi, sosial dan budaya merupakan tanggungjawab holistik dan perlu disemai didalam diri setiap masyarakat Malaysia.


Malaysia wujud kerana rakyat yang bersatu padu, Malaysia maju kerana rakyat bersemangat dan Malaysia makmur kerana perpaduan rakyatnya.


tulisan anak kampung

No comments: