Thursday 1 May 2008

PATRIOTISME dari kaca mata AKU



Patriotisme secara umumnya membawa maksud kecintaan dan kesetiaan tidak berbelah bagi terhadap negara dan mempunyai kesanggupan untuk mempertahankan kedaulatan dan maruah negara.
Patriotisme adalah langkah dalam melahirkan masyarakat beradab dan mampu menangkis cabaran dari dalam dan luar yang ketika ini semakin meruncing. Kemunculan semangat patriotisme berpunca daripada asal usul peradaban manusia itu sendiri, manusia hidup berkonflik bertujuan untuk mencapai keperluan asas.
Kewujudan konflik seterusnya menimbulkan kesedaran bagaimana untuk menguruskan konflik, dewasa ini pengurusan konflik lebih mencabar khususnya dalam dunia di era globalisasi. Kepincangan dalam pengurusan konflik secara tidak langsung akan memberikan impak yang boleh memecahbelahkan sesuatu masyarakat majmuk. Oleh demikian, semangat patriotisme dilihat menjadi pemangkin kepada pengurusan konflik bagi mengelakkan sebarang permasalahan yang mungkin mampu memecahbelahkan masyarakat.
RUKUN NEGARA merupakan manifestasi ideologi nasional dalam mencapai perpaduan di kalangan rakyat tanpa mengira kaum, ras dan agama jika difahami dengan jelas. RUKUN NEGARA mempunyai makna sangat besar bagi setiap warganegara Malaysia agar dihayati dan disemat dalam diri. Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan menjadi nadi kepada pentadbiran kerajaan di Malaysia.
Pentadbiran negara kini didasari melalui dasar-dasar yang diamalkan oleh pemimpin negara dahulu dan sekarang. Misi nasional dan kemampanan modal insan menjadi teras kepada rancangan yang dijalankan oleh kerajaan. Asas kepada kejayaan Malaysia berpunca dari perkongsian kuasa yang diamalkan oleh pemimpin dan kesedaran masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, menjadikan perkongsian kuasa pemangkin kepada pemacuan negara menuju kecemerlangan.
Perkongsian kuasa ini, telah menwujudkan kontrak sosial yang menjadi satu memorandum antara kaum dalam mencapai keharmonian dan kesepakatan kaum. "Perlembagaan Negara" menjadi tunjang kepada undang-undang di negara ini menetapkan beberapa kuasa yang tidak boleh diubah dan tidak boleh dipertikaikan antaranya hak keistimewaan orang Melayu dalam perkara 153, bahasa Melayu sebagai Bahasa rasmi (Perkara 152), Agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia (Perkara 3(1)), hak istimewa raja-raja Melayu (Perkara 181) dan kewarganegaraan (Perkara 14) ketegasan kerajaan melalui pindaan 1971 yang melarang mana-mana pihak mempersoalkannya perlu diikuti dan tidak dipersoalkan bagi mengelak berlaku perselisihan faham adalah langkah bijak.
Keterlibatan Malaysia di arena dunia memperlihatkan kemajuan dan keprihatinan Malaysia dalam meneroka dunia bagi menuju kegemilangan dan kecemerlangan. Namun, disebalik kejayaan dan kecemerlangan yang telah, sedang dan bakal diperolehi, masyarakat harus sedar bahawa wujud ancaman yang perlu ditangkis secara bersama melalui semangat patriotisme yang bersatu dan bermuafakat. Perpaduan dalam kepelbagaian merupakan patriotisme nasional yang perlu diperkukuhkan.

No comments: